1.Meningkatkan keilmuan dan perkembangan intelek
2.Melakukan kegiatan rekreasi
3.Berhubung dan bergaul dengan saudara mara atau rakan-rakan
Masa cuti sekolah ialah waktu para pelajar tidak bersekolah. Lazimnya,masa cuti sekolah digunakan oleh para pelajar untuk melakukan kegiatan yang diminati dan dirancangkan.Ada pelajar yang membazirkan masa cuti sekolah dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti melepak,berjudi,beromong kosong dan sebagainya.Amalan ini patut dicegah.Sepatutnya masa cuti sekolah harus dimanfaatkan dengan melakukan kegiatan yang mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri,keluarga dan masyarakat.
Masa cuti sekolah boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keilmuan dan perkembangan intelek melalui amalan membaca.Kata orang tua-tua membaca jambatan ilmu.Dengan mengamalkan budaya membaca,kita dapat memperoleh pengetahuan tambahan,terutamanya dengan membaca bahan bacaan ilmiah seperti majalah tentang sains dan teknologi serta kebudayaan.Pada era siber ini,kita juga boleh melayari internet untuk memperoleh maklumat terkini tentang pelbagai perkara supaya tidak menjadi katak di bawah tempurung.Selain itu,pada masa cuti sekolah,kita boleh mengadakan lawatan ke kebun atau ke kilang.Melalui kegiatan ini,kita akan mendapat pengetahuan dan pengalaman baharu tentang pertanian proses,pengeluaran sesuatu produk dan sebagainya.Ilmu dan pengalaman yang kita peroleh dapat dijadikan persediaan untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang,bak kata pepatah,sediakan payung sebelum hujan.
Pada masa cuti sekolah,kita boleh melakukan kegiatan rekreasi.Pada hari biasa kita dibebani pelajaran dan kerja rumah.Justeru,kita kekurangan kegiatan rekreasi.Masa cuti sekolah mewujudkan peluang kepada kita untuk melakukan kegiatan rekreasi seperti perkelahan.Kita boleh mengajak ahli keluarga untuk berkelah di pantai atau di tepi tasik yang berpemandangan menarik.Di sana,kita dapat bermesra dan bergurau dalam suasana gembira sambil menikmati keindahan alam semula jadi.Kita juga boleh mengajak rakan untuk menjalani kegiatan sukan dan permainan.Kita akan berseronok terutamanya apabila kita menang dalam kegiatan sukan atau permainan.Di samping itu,kita boleh mempraktikkan hobi contohnya berkebun dan berbunga.Kita akan berasa gembira dan berpuas hati ketika melihat hasil kita.Kegiatan rekreasi mengurangkan tekanan jiwa,stres selain menghiburkan hati yang penting demi kesihatan.
Pada hari-hari biasa,kita sibuk dengan pelbagai tugasan dan rutin.Kita kekurangan masa untuk berhubung dan begaul dengan saudara mara atau rakan-rakan.Justeru,masa cuti sekolah dijadikan kesempatan untuk berhubung dan bergaul dengan mereka contohnya mengadakan kunjungan ke rumah datuk nenek dan pak cik yang tinggal berjauhan dengan rumah kita.Kunjungan mewujudkan peluang kepada kita untuk berbual dan bermesra dengan saudara-mara.Dalam pada itu,kita boleh mengadakan pelbagai aktiviti contohnya makan dan minum bersama sambil berbual dengan mereka dan bekerjasama mejayakan perkelahan dan perkhemahan untuk membantu mempererat hubungan.Di samping itu,kita boleh mengajak rakan makan dan minum di warung atau di restoran makanan segera sambil bergurau senda.Kegiatan ini akan mempererat hubungan antara satu sama lain.
Masa itu emas.Lantaran itu,masa cuti sekolah harus dimanfaatkan untuk melakukan kegiatan yang dapat membantu perkembangan jasmani,mental dan emosi demi kesejahteraan serta kebahagiaan hidup.
No comments:
Post a Comment