Wednesday, June 19, 2019

Karangan #1 Semangat Kejiranan

Soalan: Semangat kejiranan kian luntur dalam kalangan masyarakat kita. Huraikan punca-punca fenomena ini dan langkah-langkah untuk memperkasa semangat kejiranan.


Isi:
1.Kurang Memberikan Penekanan Terhadap Didikan Moral Dan Agama (Punca)
2.Perbezaan Profesion (Punca)
3.Peranan Ibu Bapa (Langkah)
4.Mempergiat Kegiatan Kemasyarakatan (Langkah)


  Pada zaman dahulu, hubungan antara jiran amat rapat bagai aur dengan tebing manakala kini sifat individualistik bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing semakin menebar terutamanya dalam kalangan warga kota. Kebanyakan warga kota tidak tahu-menahu tentang hal jiran. Jangankan bergaul mesra malah bertegur sapa pun tidak. Senario ini mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Justeru, punca-punca fenomena ini perlu dikenal pasti dan langkah-langkah ekfektif perlu diambil untuk menyuburkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

  Masyarakat kini kurang memberikan penekanan terhadap didikan moral dan agama. Dalam keghairahan mengejar duniawi, nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati, bertolak ansur, prihatin dan tolong-menolong kian dikesampingkan. Sejak kecil-kecil lagi, seseorang individu tidak diberi bimbingan agar lebih prihatin dan menyayangi orang lain. Sebagai kesannya, generasi muda tidak ingin dan tidak berasa perlunya membantu orang lain termasuk jiran malah sesetengah kanak-kanak dilarang bergaul dengan jiran disebabkan perbezaan status sosial. Ibu bapa sendiri juga tidak memperlihatkan rol model yang sewajarnya. Mereka tidak kisah bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Jika ibu bapa sendiri tidak bergaul dengan jiran, apatah lagi anak-anaknya?

  Masa berlalu, zaman berubah. Masyarakat dahulu didominasikan oleh masyarakat pertanian yang melakukan kerja yang sama dan mereka berstatus sama, iaitu semuanya petani. Maka, tidak wujudnya sifat hina-menghina. Kini, warga kota memiliki profesion yang berlainan contohnya sebagai guru, peguam, peniaga, jurutera dan sebagainya. Ada antara mereka bekerja pada waktu berlainan kerana mengikut syif. Justeru, mereka jalan-jalan bertemu. Walaupun mereka berpeluang bertemu, mereka kekurangan isu yang dapat dijadikan pokok perbualan untuk mempererat hubungan. Sebagai kesannya, mereka selalu berasa prasangka dan syak wasangka. Perasaan antara mereka ini tidak dapat dihapuskan.

  Untuk memupuk semangat kejiranan, usaha perlu dimulakan sejak kecil-kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebung. Ibu bapa perlulah sentiasa membawa anak berkunjung ke rumah jiran dan membiarkan anak berkawan dengan anak jiran supaya naluri berkawan dapat disuburkan. Anak yang hidup dalam keadaan dan suasana yang demikian tidak akan menjadi kera sumbang. Ibu bapa harus menggalakkan anak agar mengajak anak-anak jiran bermain bersama-sama. Jangan sekali-kali melarang anak berkawan dengan jiran.

  Untuk merapatkan hubungan antara jiran, kegiatan kemasyarakatan seperti gotong-royong perlu dipergiat. Kegiatan gotong-royong mewujudkan peluang bagi orang yang berlainan sosial, agama dan bangsa untuk berkenalan dan bergaul mesra. Melalui kegiatan kemasyarakatan ini, orang dapat bertukar-tukar pendapat dan memupuk persefahaman. Selain itu, kegiatan seperti rumah terbuka juga memainkan peranan yang vital untuk menyuburkan semangat kejiranan. Hal ini demikan kerana rumah terbuka membolehkan jiran tetangga berkongsi kegembiraan dan seterusnya dapat mempererat hubungan.

  Kesimpulannya, semangat kejiranan memainkan peranan dominan untuk menjaga kesejahteraan dan keharmonian sesuatu komuniti. Justeru, semangat kejiranan perlu dijadikan budaya hidup lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kita yang terdiri daripada berbilang kaum.
  

No comments:

Post a Comment

Karangan #7 Peranan Sekolah Dalam Usaha Membentuk Akhlak Remaja

  Isi: 1.Pendidikan moral dan agama 2.Kegiatan kokurikulum 3.Guru-guru 4.Peraturan sekolah   Setiap individu perlu melalui alam perse...